Peak Sports Hub memperkenalkan hab pelbagai guna




Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Azmah Haji Ahad





BERAKAS, Jumaat, 9 Januari. - Majlis Perasmian Peak Sports Hub telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, bertempat Peak Sports Hub, Jaya Setia.


Pelancaran berkenaan menandakan satu pencapaian penting dalam landskap sukan dan gaya hidup Negara Brunei Darussalam dengan memperkenalkan sebuah hab pelbagai guna yang menghimpunkan pelbagai kemudahan sukan, kecergasan, dan sosial di bawah satu bumbung.


Terdahulu, Pengurus Eksekutif Kanan Agensi Pelaburan Brunei (BIA), Dayang Noorsurainah binti Tengah, selaku Pengerusi Peak Performance Sdn. Bhd., dalam ucapan alu-aluannya menekankan kepentingan Peak Sports Hub yang bukan sahaja membawa legasi sukan yang membanggakan serta peranan baharunya dalam memupuk gaya hidup aktif, pembangunan belia, dan pengukuhan penglibatan komuniti.


"Ruang ini membawa legasi sukan yang membanggakan sebagai bekas Kelab Tenis Brunei, sebuah tempat yang telah lama menyatukan komuniti.


"Hari ini, kami membina asas tersebut untuk mewujudkan sebuah kemudahan yang inklusif, bertenaga, dan berpandangan ke hadapan untuk semua," ujarnya.


Majlis seterusnya menyaksikan lawatan berpandu ke kemudahan yang disediakan diketuai oleh Dayang Noorsurainah. Lawatan berkenaan mempamerkan gelanggang sukan, kawasan karnival serta gerai-gerai jualan.


Peak Sport Hub telah direka bentuk agar mudah diakses dan mesra kepada semua dengan menyediakan ruang di mana individu daripada semua peringkat usia dapat kekal aktif, berhubung melalui sukan, dan berinteraksi dengan komuniti yang lebih luas.


Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri), di Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim, pegawai kanan dan wakil daripada BIA, MOFE, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), Darussalam Assets, dan Peak Performance Sdn. Bhd.

Close